KUMPULAN penyelidik di Amerika Syarikat (AS) menemui seekor burung yang separuh badannya adalah jantan, manakala separuh lagi adalah betina.
Spesis yang jarang ditemui itu merupakan penemuan satu dalam sejuta.
Difahamkan, kali terakhir spesies berkenaan ditemui Pusat Pemuliharaan Powdermill Nature di Muzium Sejarah Alam Carnegie adalah 15 tahun lalu.
Malah, ia merupakan burung yang kelima pernah ditemui mereka dari spesies yang sama daripada hampir 800,000 ekor di pusat terbabit.
Pengurus Program Perlindungan, Annie Lindsay, berkata pihaknya sangat teruja dengan penemuan itu.
“Kami semua sangat teruja. Tentunya ada minat ke arah kajian saintifik tetapi apa yang lebih penting, ia satu anugerah untuk menemui spesis yang sukar ditemui,” katanya seperti dilaporkan CNN.
Burung tersebut dikenali sebagai Grosbeak. Grosbeak jantan dan betina dibezakan melalui warnanya.
Burung jantan mempunyai wing pits berwarna merah jambu, sementara betina berwarna coklat kekuningan.
Variasi genetik campuran ini dikenali sebagai gynandromorphism.
‘Gyne’ adalah bahasa Yunani yang membawa maksud wanita; ‘andro’ bermaksud lelaki, dan ‘morph’ bermaksud ragam.
Saintis bagaimanapun belum dapat mengenal pasti bagaimana gynandromorphism memainkan peranan terhadap spesis tersebut.
“Mungkin tidak ada sebarang kelebihan. Tetapi ia mungkin akan mempengaruhi kemampuannya dalam berpasangan.
“Ia sememangnya akan memberi kesan kepada keupayaannya untuk mengawan.
“Kami belum dapat mengesahkan jika bahagian betina burung itu mempunyai ovari yang berfungsi. Jika benar, ia mungkin dapat dibiakkan.” katanya.
Burung itu kini dianggarkan berusia sekurang-kurangnya setahun, dan ini bermakna ia mungkin boleh hidup sehingga dewasa tanpa sebarang masalah.
Gynandromorph dikatakan juga berlaku kepada spesies labah-labah, krustasea dan ayam yang didakwa berpunca daripada kesilapan genetik yang menghasilkan embrio dengan sel jantan serta betina. -Malaysiapost

