Belanjawan berprinsip, lindungi rakyat – Muhyiddin

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

KERAJAAN telah menggubal sebuah Belanjawan yang berprinsip melindungi (protect) rakyat dan perniagaan dan membantu mereka untuk melonjak kembali (rebound) serta menjamin (secure) masa depan yang lebih berdaya tahan dan lestari.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan sedar bahawa yang paling membimbangkan rakyat adalah kesihatan mereka dan punca rezeki bagi menyokong kelangsungan hidup masing-masing.

“Kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal memastikan rakyat sentiasa dilindungi. Ini jelas dilihat melalui peruntukan yang tertinggi untuk rakyat dalam Belanjawan 2021 ini berbanding belanjawan negara yang pernah dibentangkan sebelum ini.

“Pelbagai langkah yang digubal bukan sahaja bagi keselamatan dan kelangsungan hidup rakyat untuk hari ini, tetapi juga bagi membantu rakyat membina sebuah masa depan yang lebih kukuh,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Belanjawan 2021 juga akan meneruskan momentum yang telah dicapai selepas pelaksanaan empat pakej rangsangan terdahulu yang berjumlah RM305 bilion iaitu PRIHATIN, PRIHATIN PKS+, PENJANA dan KITA PRIHATIN.

Katanya, melalui Belanjawan 2021, pelbagai jenis bantuan, subsidi dan insentif yang bernilai keseluruhannya RM28 bilion telah disediakan oleh kerajaan terutama bagi menangani beban kos sara hidup dan memelihara kebajikan golongan rentan.

“Selain itu, kerajaan komited bagi memberi peluang dan mengekalkan pekerjaan, memastikan keterangkuman dan menjamin kesejahteraan hidup rakyat. Daripada jumlah ini, bantuan langsung iaitu Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), dijangka memanfaatkan sejumlah 8.1 juta rakyat dengan peruntukan RM6.5 bilion.

“Kerajaan terus mengambil maklum kebimbangan rakyat tentang kelangsungan hidup mereka, terutamanya dari segi pekerjaan dan punca rezeki. Justeru, kerajaan bertekad mencapai sasaran RM500,000 peluang pekerjaan baharu melalui pelbagai program termasuk peningkatan kemahiran dan latihan semula,” katanya.

Muhyiddin berkata, Belanjawan 2021 mengambil pendekatan bersasar untuk memastikan mereka yang benar-benar memerlukan akan terus mendapat sokongan dan bantuan daripada Kerajaan.

“Golongan ini merentas kaum dan ideologi, tidak kira di pelosok negeri mana mereka berada.

“Pendekatan bersasar ini diambil kira dalam mengizinkan pengeluaran simpanan Akaun 1 KWSP bagi mereka yang telah hilang pekerjaan dan benar-benar terjejas.

“Begitu juga dengan penambahbaikan Bantuan Pembayaran Bersasar oleh sektor perbankan dari segi kelonggaran pembayaran kepada peminjam yang dikenal pasti,” katanya.

Muhyiddin berkata, prinsip melindungi (protect), melonjak kembali (rebound), serta menjamin (secure) juga adalah bertujuan untuk terus menyokong Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Wawasan ini akan menjadi penunjuk arah dasar-dasar kerajaan dalam merapatkan jurang ekonomi, dengan segala hasil kemakmuran Negara dikongsi oleh setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kumpulan etnik dan wilayah,” katanya. – Malaysiapost