Fitri Nizam
NASIB malang penghantar makanan bermotosikal, Nur Athirah Abdul Latiff yang kehilangan motosikalnya di Batu Caves, Selangor mendapat perhatian Istana Selangor.
Tersentuh dengan nasib dialaminya itu, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin perkenan menyampaikan sumbangan peribadi berupa sebuah motosikal baharu untuk meneruskan kelangsungan hidup Nur Athirah.
Menurut Selangor Royal Office, baginda berasa amat sedih dan terharu apabila membaca berita yang tular mengenai nasib malang Nur Athirah.
“Sumbangan itu disampaikan oleh Juruiring Polis (ADC) kepada Tengku Permaisuri Selangor, Inspektor Noor Hidayu Aziz.
“Nur Athirah yang merupakan anak kedua dari tiga beradik tinggal bersama ibunya di Batu Caves kini bertindak selaku penyara keluarga dengan melakukan kerja penghantaran makanan sepenuh masa,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Tengku Permaisuri Norashikin berharap dengan sumbangan itu, Nur Athirah akan dapat kembali meneruskan kerja harian dengan sempurna seterusnya membantu keluarga.
Baginda bertitah, di waktu kita semua sedang diuji dengan pelbagai dugaan ketika ini, baginda amat berharap agar masyarakat di luar sana lebih bersifat perikemanusiaan dan bertimbang rasa di antara satu sama lain.
“Baginda turut mendoakan agar sekalian rakyat terus dimurahkan rezeki dan sentiasa di dalam perlindungan Allah SWT,” katanya.
Dalam kejadian 2 petang itu, Nur Athirah dipercayai ingin mengambil makanan untuk dihantar dan parkir motosikal jenis Yamaha 135LC di sebuah pasar raya di Batu Caves sebelum hilang. – Malaysiapost

