Tepat dengan keperluan Wisma Putra – Hishammuddin

0
1

[BELANJAWAN] WISMA Putra akan berusaha sedaya upaya memanfaatkan peruntukan RM778 juta menerusi Belanjawan 2021 demi mempertahankan kepentingan Malaysia di persada antarabangsa.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata antara lain mengukuhkan peranan Pejabat-Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara, selain membela kebajikan warga Wisma Putra di seluruh dunia dan menjayakan perancangan kerajaan berkaitan pandemik Covid-19.

“Dalam pada itu, saya percaya di era pandemik yang mencabar ini, kerjasama antara setiap kementerian jauh lebih mustahak berbanding sebelum ini.

“Malah, setelah meneliti pembentangan Belanjawan 2021 tadi, penting untuk saya nyatakan bahawa selain menumpukan terhadap perancangan di Wisma Putra, kementerian saya juga sentiasa bersedia memikul tanggungjawab yang melangkaui peranan sedia ada,” katanya.

Dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan hari ini, Kementerian Luar Negeri diperuntukkan RM778 juta yang mana RM703.2 juta bagi perbelanjaan pengurusan dan RM74.8 juta perbelanjaan pembangunan.

Katanya, seperti diumum Menteri Kewangan, peruntukan itu termasuk bagi menaiktaraf infrastruktur serta kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi di Wisma Putra, serta pendigitalan perkhidmatan konsular Malaysia di luar negara.

“Sebagai Menteri Luar, saya menyambut baik dan berterima kasih kepada Kementerian Kewangan atas peruntukan ini.

“Sesungguhnya, ia bertepatan dengan keperluan Wisma Putra, terutama ketika era pandemik ini memandangkan sebahagian besar perbincangan, komunikasi, mesyuarat serta persidangan melibatkan saya dan kepimpinan Wisma Putra dengan para pemimpin di seluruh dunia dilaksanakan secara atas talian.

“Situasi ini sekali gus memerlukan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi yang moden serta stabil,” katanya. – Malaysiapost