‘Belanjawan ini menjadi kanun saksi perpaduan kita’

0
2

[BELANJAWAN] “TEGUH Kita, Menang Bersama” diangkat sebagai tema Belanjawan 2021 bagi menandakan muafakat ahli Dewan Rakyat ketika situasi sukar dihadapi negara demi kesejahteraan rakyat.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, berkata penting untuk mengenepikan perbezaan dan perbalahan dalam soal cabang, namun perlu bersatu dalam menjulang harapan rakyat.

“Kita boleh berbalah dan berbeza pandangan atas perkara cabang, namun bermuafakatlah kita atas perkara dasar.

“Jika sebelum ini kita pernah bersama sebulat suara bersetuju dengan penubuhan Kumpulan Wang Covud-19, adalah harapan ramai di dalam dewan yang mulia ini mahupun rakyat di luar sana—belanjawan ini dijulang menjadi kanun saksi perpaduan kita demi rakyat,” katanya ketika sebelum mengakhiri pembetangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Jelas Tengku Zafrul, beliau percaya bahawa bangsa Malaysia adalah bangsa yang berani dan kuat serta sepakat.

Katanya, masyarakat perlu bersyukur kerana negara masih kuat mendepani cabaran yang melanda ketika ini.

Oleh itu katanya, harapan rakyat perlu didakap erat kerana kepercayaan mereka terlalu mahal

“Saya punya sebuah kepercayaan. Betapa bangsa Malaysia ialah bangsa yang berani, bangsa yang kuat, yang bila sepakat kita mampu melakukan yang luar biasa.

“Kita perlu bersyukur, kita masih kuat menggagahi semua ini. Kuatnya negara ini adalah kerana rakyatnya tabah berkorban membenteng negara.

“Maka sebab itu, bagi kerajaan, nurani rakyat mesti didakap erat, kerana kepercayaan rakyat mahal maharnya,” katanya lagi. – Malaysiapost