Muhammad Mustakim Ramli
KERAJAAN komited untuk mendapatkan sumber vaksin Covid-19 antaranya melalui penyertaan ke dalam program Covid-19 Vaccine Global Access atau COVAX.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz, berkata dijangkakan, bekalan vaksin Covid-19 membabitkan kos melebihi RM3 bilion untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia.
“Bagi menggalakkan rakyat mendapatkan vaksinasi mencegah penularan penyakit, kerajaan bersetuju untuk meluaskan skop pelepasan cukai bagi perbelanjaan rawatan perubatan meliputi perbelanjaan vaksinasi seperti pneumokokal, influenza serta Covid-19.
“Pelepasan cukai ini diberi ke atas perbelanjaan vaksinasi bagi diri sendiri, pasangan dan anak-anak terhad kepada RM1,000.
“Kerajaan juga akan menaikkan had pelepasan cukai ke atas perbelanjaan rawatan perubatan diri, pasangan dan anak bagi penyakit serius daripada RM6,000 kepada RM8,000 ringgit dan had pelepasan cukai bagi skop perbelanjaan pemeriksaan kesihatan penuh dinaikkan daripada RM500 kepada RM1,000,” katanya dalam Perbentangan Belanjawan 2021.
Katanya, sebagai tambahan, had pelepasan cukai ke atas perbelanjaan bagi rawatan perubatan, keperluan khas dan penjagaan ibu bapa juga dinaikkan dari RM5,000 kepada RM8,000.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, dalam tempoh pandemik ini juga, kerajaan menerima maklum balas bahawa masalah mental antara isu serius yang dihadapi masyarakat.
“Talian Sokongan Psikososial Kementerian Kesihatan telah menerima lebih 35,000 panggilan telefon sejak Mac hingga Oktober 2020 yang antaranya mengenai masalah tekanan perasaan, kegelisahan dan kemurungan.
“Maka, peruntukan RM24 juta disediakan bagi menangani isu ini termasuk melalui pengukuhan Program Kesihatan Mental, Pencegahan Keganasan dan Kecederaan serta Penyalahgunaan Substans,” katanya. -Malaysiapost

