Mayat 5 mangsa kebakaran ditemui dalam, berhampiran bilik air

0
2
SEREMBAN 19 JANUARY 2017. Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis pada Majlis Perbarisan Tahunan 2017 di Ibu Pejabat Jataban Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan. NSTP/HASRIYASYAH SABUDIN

MAYAT lima mangsa yang maut dalam kebakaran membabitkan lima rumah di Lorong Mokhtar, Kampung Delek Kanan, di Klang pagi tadi ditemui masing-masing di dalam dan berhampiran bilik air.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis, berkata semua mayat mangsa yang sudah dikenal pasti itu berjaya dikeluarkan pada jam 8 pagi.

“Kesemua mangsa bersembunyi di bilik air. Mayat di rumah pertama sempurna, manakala di rumah kedua, satu rentung 80 peratus dan tiga lagi terbakar 30 peratus.

“Siasatan awal mendapati pintu dapur, laluan keluar berkunci. Kemungkinan panik tidak dapat mencari kunci menyebabkan mereka tidak boleh keluar dan berkumpul dalam bilik air dengan harapan boleh menyelamatkan mereka.

“Mangsa rumah pertama ditemui duduk dalam kolah air dipercayai untuk menyejukkan badan dan rumah kedua, tiga dewasa dalam tandas, satu di luar pintu tandas iaitu kanak-kanak yang rentung 80 peratus,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Norazam berkata, mangsa dari rumah pertama adalah seorang lelaki warganegara Kemboja, Ubaidilah Ayob, 48 tahun.

Beliau berkata, rumah kedua dihuni pasangan suami isteri, iaitu Fauzi Daut, 44 tahun yang juga warga tempatan dan isteri, Sarimah Yusuf, 37 (warganegara Kemboja).

Katanya, pasangan itu menjalankan perniagaan pakaian terpakai (bundle) di rumah berkenaan.

Turut maut, kakak Fauzi, Fauziah, 50, dan anak saudara pasangan itu, Mohd Amirudin Ali, 12.

Ibu bapa Mohd Amiruddin menumpangkan mangsa di rumah Fauzi kerana bekerja.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati panggilan yang dibuat agak lewat, namun kepantasan anggota bomba dapat mengawal api dari merebak ke rumah keenam hingga rumah ke-10.

“Saksi maklumkan kebakaran rumah pertama dan kedua serius dan kita percaya panggilan dibuat agak lambat.

“Sebaik tiba, api sudah merebak ke lima-lima unit rumah dan kami dimaklumkan ada mangsa terperangkap, jadi anggota cuba untuk masuk menyelamat tetapi api marak.

“Saksi memberitahu bomba, kebakaran mungkin berlaku pada jam 3.40 pagi, mereka dengar ada bunyi letupan, mereka bertindak memanggil penghuni rumah ketiga, empat dan lima kerana ketika itu apa marak di rumah pertama dan kedua malah tiada kedengaran suara mangsa meminta tolong.

“Saksi membantu mengeluarkan seramai lapan penghuni dari rumah ketiga hingga kelima yang terdiri daripada warganegara Kemboja dipercayai sudah lama bermastautin di sini,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati rumah sewa dihuni sejak 1994 itu dibina tanpa merujuk pihak berwajib dan tiada ciri-ciri keselamatan, malah tiada dinding pemisah di antara rumah ke rumah.

“Kemungkinan kebakaran mudah merebak kerana tiada penghalang api dan juga asap.

“Kami masih menyiasat bunyi letupan sama ada daripada gas memasak atau peralatan elektrik lain sebab rumah pertama berniaga makanan dan dimaklumkan ada ketuhar.

“Mungkin peralatan ini meletup, kita mengesyaki berdasarkan maklumat diberikan saksi,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk proses bedah siasat.

Norazam berkata, kekuatan anggota seramai 30 orang termasuk pegawai kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Raja, Andalas, Pelabuhan Klang serta dari Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor. -Malaysiapost