Fitri Nizam
AHLI dan petugas Parlimen perlu menjalani saringan ujian Covid-19 pada setiap dua minggu adalah antara saranan Ketua Pengarah Kesihatan bagi mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) di Parlimen.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, berkata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah menyampaikan beberapa pandangan dan nasihat ketika dihubungi semalam.
Katanya, antara saranan yang diberikan adalah, Ahli Parlimen tidak lagi mengadakan majlis jamuan atau bermesyuarat dalam kelompok besar semasa di luar Dewan.
“Sekiranya Ahli Yang Berhormat perlu bermesyuarat atau berkumpul secara fizikal ia perlu jalankan mengikut SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan ketat.
“Selain itu, Ahli Parlimen dinasihatkan supaya menghadkan pergerakan masing-masing semasa di luar premis Parlimen sepanjang tempoh persidangan serta mengelakkan bergaul atau menghadiri majlis keramaian dan tempat yang sesak serta sentiasa mematuhi SOP, ” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, Ahli Parlimen dan petugas perlu menjalani ujian saringan Covid-19 pada setiap dua minggu.
“Untuk tujuan ini pihak pentadbiran Parlimen Malaysia akan mengeluarkan Notis Pemberitahuan dari semasa ke semasa.
“Sekiranya ada kes positif di kompleks Parlimen, pihak KKM akan membuat penilaian terhadap SOP yang sewajarnya.
“Perlu diingatkan bahawa apa-apa jangkitan di Parlimen mungkin akan menyebabkan Bangunan Parlimen ditutup sekiranya didapati perlu berbuat demikian,” katanya.
-Malaysiapost

