Fitri Nizam
SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengesan sebanyak 1,377,862 talian prabayar yang didaftar secara meragukan setakat Oktober lalu.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 920,207 talian itu sudah ditamatkan perkhidmatan manakala 457,645 lagi dikemas kini dengan maklumat yang sah.
“Daripada aspek kawal selia industri, SKMM turut menjalankan audit pengesahan data dengan Jabatan Pendaftaran Negara untuk mengesahkan integriti pangkalan data pelanggan talian prabayar.
“Ini untuk memastikan semua nombor aktif dengan sewajarnya bagi mengelak ia disalah guna,” katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohamad Alamin (BN-Kimanis) mengenai inisiatif kementerian untuk memastikan rakyat selamat daripada penipuan siber.
Saifuddin berkata, kementeriannya melalui Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) juga melaksanakan strategi komunikasi yang terancang melalui saluran platform media sosial rasmi JaPen bagi memastikan rakyat mendapat maklumat tepat dan sahih berkenaan penipuan siber. -Malaysiapost

