PRK Batu Sapi: Bekas Timbalan Pengerusi SPR cadang haramkan kempen

0
1

Nurul Huda Abhar

BEKAS Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar mencadangkan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi diharamkan.

Beliau berkata, ia boleh dilaksanakan mengikut bidang kuasa SPR bagi membendung penularan Covid-19, terutama kawasan Parlimen itu yang terletak di daerah Sandakan masih berada dalam zon merah.

Pada masa sama, katanya, SPR boleh membenarkan kempen secara dalam talian sekali gus mengelak petugas sesuatu parti berjumpa pengundi secara bersemuka atau membabitkan aktiviti berkumpul.

“Kena perincikan kaedah-kaedah berkempen. Negara kita sekarang teknologi komunikasi sangat canggih jadi kita perhebatkan berkempen melalui media sosial.

“Kini hampir semua orang ada gajet di tangan, gunakan itu sepenuhnya. Semuanya kini di hujung jari.

“Kita ibaratkan daripada 100 orang mungkin 99 akan terima mesej yang disampaikan,” katanya menerusi program Sudut Pandang bersama Malaysiapost.

Menurut Wan Ahmad, perkara tersebut tidak sukar untuk dilakukan kerana jika permit untuk melakukan ceramah secara terbuka tidak dibenarkan, ia boleh diganti dengan secara dalam talian.

Katanya, rakyat kini sudah menerapkan ciri-ciri fleksibel dalam kehidupan bagi mengikuti perkembangan semasa yang boleh memudahkan lagi urusan seharian.

“Sekarang orang kita akan cari kaedah lain untuk memudahkan kerja mereka. Contoh semasa Perintah Kawalan Pergerakan tempoh hari kita tidak dibenarkan makan di kedai. Jadi mereka buat pesanan guna ‘Food Panda’.

“Pengundi ini adalah pelanggan sebenarnya. Mereka akan berubah mengikut keadaan dan arahan. Jadi kaedah berkempen diperincikan, perketatkan larangan dan perhebatkan berkempen melalui media sosial.

“Selain itu, benarkan calon untuk berkempen di media awam. Apa salahnya juga benarkan mereka untuk bercakap di radio, menyampaikan mesej kepada rakyat. Semua ini boleh dibuat tak perlu pinda undang-undang,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata anggota polis di luar kawasan Batu Sapi juga boleh digerakkan untuk berkawal di kawasan itu semasa perjalananan proses pilihan raya.

Ini kerana, katanya, hari pengundian adalah hari yang sangat penting untuk memperketatkan lagi pemantauan.

“Oleh kerana pengundian di Batu Sapi melibatkan hanya satu Parlimen, pemantauan dari segi larangan yang ketat boleh dilakukan oleh polis,” katanya.

Menyentuh mengenai kemuncak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan diadakan dalam waktu terdekat, katanya, kerajaan negeri tidak perlu tergesa-gesa membuat pilihan raya atau membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam keadaan peratusan kes wabak Covid-19 masih tinggi.

Tambah Wan Ahmad, jika pemantauan prosedur operasi standard (SOP) untuk PRN Sarawak dimantapkan selari dengan larangan kemasukan orang luar ke negeri itu, maka pilihan raya boleh dilaksanakan.

“Jika kita tunggu sampai DUN Sarawak terbubar sendiri iaitu Jun tahun depan, maka SPR ada 60 hari untuk tetapkan hari penamaan calon dan hari mengundi di saat-saat akhir. Kita mahu elak berlaku gelombang keempat pula.

“Jangan salahkan SPR atau pihak-pihak lain jika berlaku perkara-perkara yang tidak diingini. Ada lapan bulan lagi oleh itu kita tidak perlu panik,” katanya. – Malaysiapost