Covid-19: PKPB di 658 taman perumahan di Seremban, mulai tengah malam ini

0
1

SEBANYAK 658 taman perumahan melibatkan 95 mukim di Seremban akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa esok hingga 18 November ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata negeri itu merekodkan peningkatan kes Covid-19 dan kesan dari peningkatan tersebut, pelaksanaan PKPB di Zon Nilai dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokasi di Putra Point Nilai dilaksanakan bermula 28 Oktober lalu.

Katanya, berlaku pola peningkatan kes khususnya di daerah Seremban, tambahan pula dengan kewujudan beberapa kluster baharu yang telah dikesan oleh Pejabat Kesihatan.

“Ia merupakan justifikasi utama Kerajaan Negeri untuk melaksanakan PKPB bagi mengekang dan mengawal pergerakan orang ramai dan mengelakkan penularan dari terus meningkat,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan PKPB di Zon Nilai adalah terbatal kerana PKPB di zon tersebut merangkumi PKPB yang telah dikuatkuasakan di daerah Seremban.

“Selaras dengan pengumuman tersebut, setelah mendapat nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sembilan, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Seremban serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.

“Kerajaan Negeri telah mengemukakan cadangan kawasan atau lokaliti yang terlibat serta Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan kepada Kerajaan Persekutuan untuk pengesahan,” katanya.

Sehubungan itu, kata Aminuddin, kerajaan negeri mengambil maklum dan perhatian terhadap kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, mengenai PKPB di daerah berkenaan. -Malaysiapost

Foto Kredit: Bernama