Pertikai kuasa Agong: UMANY dakwa kenyataan diputarbelitkan

0
1

PERSATUAN Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY) tetap bertegas dengan pendiriannya walaupun menerima pelbagai kecaman termasuk daripada Universiti Malaya (UM), berhubung isu mempertikai kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Ia susulan satu hantaran bertajuk “Yang di-Pertuan Agong tidak sepatutnya campur tangan dalam hal ehwal negara” yang dimuat naik persatuan itu menerusi laman Facebook, baru-baru ini.

UMANY berkata, artikel yang dimuatnaik itu didakwa diputarbelitkan dan mengundang fitnah dengan serius.

“Dengan nasihat daripada peguam, pihak kami bersetuju untuk menyahaktifkan laman Facebook kami secara sementara pada pukul 2 pagi (30 Oktober),” kata kenyataan itu.

UMANY berkata, berkenaan kontroversi akibat artikel itu, pihaknya membuat tiga kenyataan berhubung isu berkenaan.

“UMANY mempertahankan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara dan menghormati sistem raja berperlembagaan di Malaysia.

“Kedua, UMANY mengkritik sekeras-kerasnya kenyataan yang dikeluarkan UM pada 1 November lalu.

“Sekiranya pihak UM ingin mengambil tindakan tatatertib terhadap UMANY yang mengadakan perbincangan akademik secara rasional, kami berkemungkinan akan mencabar tindakan tersebut melalui sistem perundangan untuk menuntut pampasan,” katanya.

UMANY berkata, pihaknya berpendirian teguh dalam mempertahankan kebebasan dan hak bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kami mengutuk serangan terhadap isu ini yang bersifat perkauman dan seksis, dan menegaskan sekali lagi pendirian kami dalam artikel tersebut,” katanya.

Ahad lalu, UM memaklumkan akan menjalankan siasatan berhubung satu hantaran yang dimuat naik UMANY menerusi laman Facebook persatuan itu.

Menurut kenyataan Pejabat Komunikasi Korporat UM, universiti itu memandang serius hantaran badan pelajar berdaftar berkenaan.

UM menjunjung dan menghormati institusi beraja.

“Oleh yang demikian, pengurusan tertinggi universiti mengutuk sebarang kenyataan yang melanggar atau bertentangan dengan prinsip tersebut,” demikian menurut kenyataan itu. -Malaysiapost