Covid-19: Malaysia rekod kematian tertinggi

0
3

Muhammad Mustakim Ramli

MALAYSIA mencatatkan jumlah tertinggi kematian akibat Covid-19 apabila sebanyak 12 kes kematian direkodkan, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah itu menjadikan keseluruhan kes kematian di negara ini adalah 263.

“Kesemua kes terbabit adalah di Sabah, di mana empat kes bukan warganegara dan baki lapan lagi adalah warganegara.

“Ia membabitkan enam lelaki dan enam perempuan yang berusia 14 hingga 82 tahun. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka,” katanya menerusi sidang media harian, hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 1,054 kes baharu positif dilaporkan hari ini dengan 1,040 adalah penularan tempatan.

“Sabah mencatatkan kes tertinggi iaitu 678 kes dan Selangor kedua dengan 125 kes.

“Selain itu, sebanyak 875 kes sembuh dicatatkan hari ini dengan jumlah keseluruhan kes sembuh adalah 23,995 kes.

“Sebanyak 10,135 kes aktif di mana 94 daripadanya menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) termasuk 32 menerima bantuan alat penafasan,” katanya. – Malaysiapost