Gerai Kapten Azrin, bekas juruterbang Malindo curi perhatian warganet

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

INDUSTRI pelancongan antara terkesan teruk akibat penularan pandemik Covid-19 apabila banyak pihak terjejas dan kehilangan punca pendapatan.

Jika sebelum ini kita mendengar laporan mengenai penutupan beberapa hotel, kini dikejutkan pula berita pemberhentian pekerja syarikat penerbangan Malindo.

Tidak dapat dinafikan syarikat penerbangan kini berdepan kerugian susulan permintaan dari dalam negara juga kian berkurangan berbanding biasa.

Seorang bapa, Mohamad Zawawi Ahmad berkongsi ‘perubahan’ anaknya yang sebelum ini juruterbang yang bertukar kerjaya kepada peniaga gerai.

Menariknya anaknya yang dikenali Kapten Azrin membuka gerai di USJ 11 di Selangor tampil lengkap dengan pakaian seragam juruterbang kerana tidak tahu bila lagi boleh menyarung seragam berkenaan.

Perkongsian itu mendapat perhatian warganet yang memberi kata-kata semangat kepada Kapten Azrin dan mendoakan yang terbaik untuk dirinya.

Malah, rata-rata warganet bangga dengan apa yang beliau lakukan.

Sementara itu, Pensyarah Fiqh Makanan Semasa di Pusat Kajian Syariah Fakulti Pengajian Islam UKM Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, berkata langkah yang diambil Azrin itu terpuji demi kelangsungan hidup.

“Saya ingin berkongsi kisah Kapten Azrin Mohamad Zawawi, salah seorang pilot Malindo yang terpaksa diberhentikan kerja.

“Beliau ambil inisiatif buka berniaga mi kari, bihun sup, laksa utara dan rojak buah di tepi jalan. Untuk kelainan (marketing), Azrin pakai uniform pilot beliau semasa berniaga, sesuai dengan nama gerainya, Kapten Corner.

“Panas? Ya, memang panas dan tak selesa pakai uniform ini di kawasan tidak berdingin hawa. Tapi demi kelangsungan hidup, beliau sanggup buat,” katanya. – Malaysiapost