SERAMAI sembilan sekeluarga Orang Asli di Desa Temuan Bukit Lanjan, Petaling Jaya yang menjalani kuarantin di rumah, menerima bantuan bekalan makanan.

Sumbangan disampaikan Pengerusi Zon Segambut, Majlis Perwakilan Penduduk, Datuk Daniel Ling Sia Ching yang menyerahkan bekalan keperluan makanan harian bagi membantu mereka.

Mereka menjalani kuarantin selepas salah seorang ahli keluarga disahkan positif Covid-19 dan pada masa sama tiada saudara-mara terdekat.
Daniel berkata, keluarga berkenaan yang menjalani kuarantin hampir seminggu ternyata memerlukan bantuan tersebut apabila tiada keluarga dari luar yang boleh membantu.
“Kini mereka dalam kuarantin dan tidak boleh keluar beli makanan, jadi saya beri sumbangan,” katanya.

Daniel menyerahkan bantuan di hadapan pagar rumah keluarga Orang Asli Temuan berkenaan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Difahamkan buat masa ini, keluarga berkenaan tidak mempunyai sumber pendapatan kerana sebelum ini mereka bergantung kepada ahli keluarga yang kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.
Lelaki berusia 34 tahun yang menerima rawatan itu bekerja di sebuah pasar raya di Petaling Jaya.
Antara barangan keperluan yang diberikan adalah pelitup muka, beras, susu, tepung dan pelbagai lagi yang dianggar berjumlah RM3,000.

Daniel turut memberi jaminan akan sentiasa mengikuti perkembangan mereka dan menyumbangkan bekalan tambahan sekiranya diperlukan. – Malaysiapost

