PKPB Seremban bermula 5 November

0
3

Muhammad Mustakim Ramli

PERINTAH Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di Seremban mulai 5 hingga 18 November ini, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, langkah itu diambil selepas sidang khas hari ini selepas pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai situasi kes positif Covid-19 di daerah berkenaan.

“Pelaksanaan PKPB ini akan meliputi sembilan mukim iaitu Ampangan; Seremban; Bandar Seremban; Labu; Rantau; Rasah; Setul; Pantai dan Lenggeng.

“Prosedur operasi standard (SOP) bagi PKPB ini adalah sama seperti diumumkan sebelum ini,” katanya menerusi sidang media harian.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sidang khas juga bersetuju menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Zon Utara dan Zon Selangor pada esok seperti dijadualkan.

“Bagaimanapun, bagi Penjara Seberang Perai dan Kuarters Perumahan Penjara Seberang Perai, Pulau Pinang, KKM melaporkan masih terdapat kes positif Covid-19 baharu sehingga 1 November lalu.

“Sehubungan itu, sidang khas bersetuju melanjutkan PKPD di kedua-dua lokaliti selama 14 hari lagi bermula 5 sehingga 18 November,” katanya. – Malaysiapost