Belanjawan 2021: PM tak perlu risau, bimbang dan ragu

0
2

TAN Sri Muhyiddin Yassin akan mendapat sokongan penuh daripada semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), seterusnya memastikan Belanjawan 2021 diluluskan di Dewan Rakyat, Jumaat ini.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata Perdana Menteri tidak perlu bimbang atau meragui sokongan BN terhadap Belanjawan 2021.

“Kita buat keputusan kita sokong bajet ini, kita nak bagi tahu kita tidak ragu-ragu kita akan sokong bajet yang akan dibentangkan pihak kerajaan.

“Perdana menteri tak perlu risau, jangan bimbang dan ragu,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat Umno sebentar tadi.

Isu Belanjawan 2021 hangat diperkatakan apabila Muhyiddin didakwa hilang sokongan majoriti dan menyebabkan kemungkinan ia tidak dapat diluluskan.

Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah minggu lalu menyeru semua Ahli Parlimen menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentang kerajaan.

Dalam kenyataan media Istana Negara yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja baginda menekankan pentingnya belanjawan berkenaan dalam menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Sementara itu, Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa berkata keputusan parti itu akan dimaklumkan oleh ketua whip BN dalam masa terdekat ini.

“Keputusan parti akan dimaklumkan ketua whip. Di dalam Parlimen ketua whip yang akan memaklumkan.

“Yang penting kita rasa lega dan gembira semua ahli-ahli Parlimen BN solid bersatu hati dan buat keputusan berasaskan kepada keputusan yang parti putuskan,” katanya. – Malaysiapost