Belanjawan 2021: Tak boleh undian luar Parlimen – Ismail Sabri

0
2

Nurul Huda Abhar

PERSIDANGAN Parlimen secara maya atau atas talian tidak boleh dilakukan kerana tertakluk Perlembagaan dan peraturan Parlimen atau ‘standing order parliament’.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berdasarkan akta, undian mestilah dilakukan di dalam Parlimen, dan tidak dibenarkan dibuat di luar persidangan Parlimen.

“Oleh itu, katakan bajet atau rang undang-undang yang dibentangkan hari ini mesti dibuat undian itu di dalam Parlimen.

“Begitu juga dengan titah yang di-Pertuan Agong sewaktu pembukaan Parlimen, Agong akan menyebut tentang mesyuarat di dalam Parlimen tersebut.

“Dalam peraturan Parlimen ‘standing order’ semua itu menjurus kepada tindakan yang dilakukan di dalam Parlimen,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurut Ismail Sabri, semua perbahasan dalam Parlimen atau sesi mencelah diharuskan untuk berdiri dan perlu minta kebenaran daripada ahli yang sedang berucap.

Oleh itu, katanya, dari segi tindakan yang dilakukan semasa sidang Parlimen berlangsung mesti disebut berdasarkan apa yang berlaku di dalam Parlimen.

“Jadi secara perundangan saya dimaklumkan bahawa kita tidak boleh mengadakan sidang secara maya berikutan undian tidak boleh dilakukan di luar sidang Parlimen,” katanya lagi.

Kenyataan tersebut dibuat ketika beliau menjawab soalan pemberita berhubung cadangan untuk melaksanakan sidang Parlimen dan pembentangan Belanjawan 2021 secara atas talian berikutan laporan terdapat kakitangan Dewan Rakyat yang disahkan positif Covid-19. – Malaysiapost