Muhammad Mustakim Ramli
ENAM warga asing ditahan selepas dipercayai merogol kanak-kanak perempuan di Taman Komersial, Pandan Indah, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha, berkata mangsa berusia 15 tahun diketahui dirogol selepas anggota polis melihat mangsa merayau-rayau di kawasan berkenaan.
“Pengadu membawa budak perempuan berkenaan ke balai polis bagi tindakan lanjut dan disyaki mangsa dirogol oleh beberapa orang lelaki warganegara asing.
“Mangsa telah dihantar ke Hospital Ampang untuk rawatan dan pemeriksaan kesihatan. Siasatan awal mendapati mangsa dirogol lebih dari sekali di sekitar Ampang,” katanya menerusi kenyataan.
Katanya, berdasarkan siasatan awal mangsa tidak bersekolah dan pernah mendapat perlindungan Rumah Nur Kasih tetapi telah melarikan diri sejak awal tahun 2019. Manakala ibu bapa mangsa telah bercerai.
Sementara itu, beliau susulan itu, seramai enam lelaki warganegara asing berusia 16 hingga 25 tahun ditahan semalam.
“Mereka bekerja sebagai buruh kasar dan kesemua tangkapan pemegang kad UNHCR.
“Urin mendapati dua daripada suspek positif dadah. Mereka direman sehingga 15 November depan,” katanya.
Mohamad Farouk berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu rogol dan membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
“Orang awam dinasihatkan sentiasa memantau keadaan anak-anak dan aktiviti yang yang dilakukan supaya mencegah dari masalah sosial dan jenayah berlaku dalam kalangan masyarakat,” katanya. – Malaysiapost

