Covid-19: Pegawai bomba Sabah meninggal dunia

0
2

SEORANG pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah meninggal dunia akibat Covid-19 di Hospital Queen Elizabeth I (HQE 1) Kota Kinabalu, pagi tadi.

Allahyarham yang bertugas di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah meninggal dunia 9.15 pagi tadi.

Pengarah JBPM Sabah Kamarulzaman Malik Abdullah berkata, pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar bagi JBPM Sabah.

“Allahyarham seorang pegawai yang sangat komited, berdedikasi serta bertanggungjawab dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.

“Ia satu kehilangan besar kepada JBPM Sabah terutama bagi di bahagian operasi. Didoakan ahli keluarga Allahyarham tabah menghadapi dugaan ini,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Mengulas lanjut, Kamarulzaman berkata, Allahyarham bersama 15 pegawai bomba disahkan positif pada 16 Oktober lalu selepas menjalani ujian saringan.

“Semua pegawai terbabit termasuk Allahyarham kemudian menjalani kuarantin di HQE I.

“Bagaimanapun Allahyarham disahkan meninggal manakala 15 pegawai disahkan pulih,” katanya.

Katanya, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kuala, Papar, petang ini.

Difahamkan, Allahyarham ada masalah penyakit jantung dan juga asma. Allahyarham meninggalkan seorang balu dan lima anak. -Malaysiapost