Muhammad Mustakim Ramli
AHLI Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berharap sidang Dewan Rakyat yang bermula hari ini tidak lagi membabitkan apa-apa spekulasi dan politiking.
Katanya, fokus yang perlu diberi keutaamaan adalah mengurus krisis Covid-19 yang menjejaskan rakyat dan negara.
“Saya harap semua pihak khususnya Ahli-ahli Parlimen fokus kepada tanggungjawab kita terutama dalam mengurus krisis Covid-19, membaikpulih ekonomi serta perkara-perkara yang mengutamakan rakyat dan negara.
“Cukup-cukuplah dengan spekulasi dan politiking,”katanya menerusi Facebook.
Menteri Luar itu turut mengingatkan semua bahawa rakyat sedang memerhati tindak tanduk semua ahli parlimen.
“Rakyat di luar sana sedang perhati dan meletakkan harapan yang tinggi. InsyaAllah, sebagai Ahli Parlimen Sembrong, saya akan buat yang termampu,” katanya. -Malaysiapost

