KWSP: Cadang pengeluaran bulanan RM2,000, selama 5 bulan

0
3

PEMUDA Umno Johor mencadangkan pengeluaran wang caruman Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilaksanakan melalui bayaran secara bulanan.

Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah berkata, cadangan itu cukup baik untuk dilaksanakan kerana rata-rata rakyat begitu terkesan dan terhimpit ekoran penularan Covid-19 di negara ini.

“Hakikatnya, rakyat atau pencarum bukan hendak mengeluarkan keseluruhan simpanan sehingga boleh menjejaskan perancangan masa hadapan sebaliknya tidak melebihi RM10,000.

“Kita faham tentunya banyak pro dan kontra disebalik cadangan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Hairi berkata, pengeluaran RM10,000 itu boleh dilakukan secara bersasar iaitu hanya kepada mereka yang memerlukan.

“Selain itu, pengeluaran bukan dibuat secara sepenuhnya ataupun lump-sum, tetapi dibayar secara bulanan.

“Mungkin RM2,000 setiap bulan untuk jangka masa selama lima bulan,” katanya.

Mohd Hairi berkata, dengan cara itu, duit berkenaan dapat dibelanjakan oleh rakyat secara berhemah.

“Menerusi cadangan itu, kuasa beli rakyat dapat ditingkatkan sekali gus baik untuk kitaran ekonomi negara.

“Buat masa ini, kerajaan perlu memberikan keutamaan kepada rakyat, jadi Pemuda Umno Johor menyokong cadangan itu, cuma ia perlu dilakukan secara bersyarat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya memahami pelaksanaan cadangan tersebut akan menyebabkan KWSP berdepan kekurangan dana yang sangat besar.

Katanya, ia sekali gus boleh menjejaskan ekonomi negara pada masa depan.

“Rakyat yang tidak banyak simpanan, akan terjejas kerana kurang wang persaraan untuk hari tua.

“Namun, kita beranggapan bahawa apa yang utama ketika ini adalah kebajikan rakyat,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Bajet 2021 beliau berkata, rakyat sememangnya menantikan intipati bajet berkenaan.

“Pada ketika ini adalah sukar untuk kerajaan melaksanakan bajet yang dapat membantu semua pihak secara menyeluruh dalam usaha menangani wabak Covid-19 dan meminimumkan impak kepada ekonomi negara,” katanya.

Justeru, katanya, kerajaan perlu laksana Bajet 2021 secara bersasar terutama bagi golongan yang mudah terkesan.

“Bajet bersasar ini penting bagi memastikan kitaran ekonomi negara akan dapat berfungsi melibatkan pelbagai pihak dan pelbagai lapisan.

“Kita dapat lihat bagaimana pelbagai bantuan sokongan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), sekarang ditukar namanya kepada Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan Bantuan Sara Hidup (BSH) dapat membantu menggerakkan ekonomi negara.

“Selain itu, tumpuan Bajet 2021 tentunya perlu dipertingkatkan dari aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) vaksin Covid-19 dan peruntukan bagi membantu golongan terkesan khususnya petugas barisan hadapan,” katanya.

Beliau berkata, Pemuda Umno Johor mencadangkan kerajaan negeri diberikan geran atau peruntukan yang besar untuk membantu menangani kesan Covid-19.

“Ia seperti bantuan terus dari kerajaan untuk menaik taraf hospital bagi memastikan semua hospital mempunyai unit baru atau bangunan baru iaitu wad khas Covid-19 dan saringan percuma kepada semua masyarakat yang ingin membuat swab test.

“Kita berharap Bajet 2021 lebih kepada bajet untuk rakyat bukan demi populariti,” tegasnya. -Malaysiapost.