AHLI Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik mengumumkan menarik diri sebagai Ahli Jawatankuasa Penaja Penubuhan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Bekas Menteri Pendidikan itu berkata beliau ingin menumpukan sepenuh usaha untuk membantu rakyat yang terkesan dengan Covid-19, khususnya di Simpang Renggam dan di seluruh Malaysia.
“Saya juga akan meneruskan usaha dalam gerakan perubahan pendidikan melalui kapasiti saya sebagai Ahli Parlimen Bebas dan melalui ruang aktivisme dan kerja-kerja kemanusiaan melalui rangkaian NGO dan rakan-rakan aktivis lain.
“Saya percaya, perubahan tidak memerlukan kedudukan dan jawatan, tetapi keinginan dan kesempatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau mengakui pelbagai persoalan timbul setelah kenyataan media dari Pejuang dikeluarkan tanpa namanya.
Katanya, keputusan itu dibuat berdasarkan dapatan fakta melalui kajian lapangan dan tinjauan terperinci terhadap aspirasi dan kehendak rakyat terbanyak.
“Saya yakin, rakyat sudah muak dengan politik percaturan kuasa oleh pihak politikus elitis.
“Rakyat mahukan ahli politik yang fokus berkhidmat dan benar-benar menyelesaikan masalah yang rakyat hadapi sekarang.
“Sama-sama kita mendoakan agar pandemik Covid-19 ini segera reda dan menghilang serta kehidupan rakyat kembali normal. Kita belum menang, tetapi kita pasti menang. Insya-Allah,” katanya.
Semalam, empat Ahli Parlimen bebas dari Pejuang menerusi kenyataan berkata mereka sebulat suara bersetuju supaya kandungan Belanjawan 2021 diteliti terlebih dahulu sebelum keputusan untuk memberi sokongan dibuat.
Mereka ialah Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Amiruddin Hamzah dan Datuk Shahruddin Md Salleh, namun tiada nama Maszlee hingga menimbulkan tanda tanya.
Baru-baru ini, satu surat didakwa akuan bersumpah (SD) Dr Maszlee memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri tular di media sosial.
Menerusi surat itu Mazlee dikatakan menyatakan beliau memberikan sokongan tidak berbelah bagi dan setia kepada Anwar.
Bagaimanapun beliau tidak memberi sebarang pengesahan berhubung perkara itu. – Malaysiapost

