Kaji keperluan akta baharu pilihan raya

0
2

Muhammad Mustakim

KERAJAAN akan mengkaji jika terdapat keperluan memperkenalkan akta baharu bagi membolehkan Pilihan Raya Umum atau Pilihan Raya Kecil diadakan pada masa ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusoff berkata, kerajaan juga sentiasa memantau pembudayaan norma baharu dalam kalangan rakyat bagi membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengkaji dan menyemak sama ada pilihan raya boleh diadakan atau tidak.

Katanya, bidang kuasa untuk mengadakan pilihan raya atau tidak adalah di bawah kuasa SPR.

“Kalau kita lihat hari ini, antara sebab peningkatan Covid-19 adalah perhimpunan beramai-ramai.

“PRK membabitkan perhimpunan beramai-ramai, membabitkan kempen dan sebagainya.

“Kalau perlu akta tertentu, kita akan kaji dan cadangkan kepada rakyat,” katanya menjawab soalan Fong Kui Lin (PH – Bukit Bintang) yang ingin tahu kesiapsiagaan kerajaan menghadapi gelombang ketiga Covid-19 pada sidang Parlimen hari ini.

Mohd Redzuan berkata, sekiranya berlaku peningkatan kes di mana-mana kawasan, kerajaan akan mengetatkan kawalan di kawasan atau lokaliti berkenaan.

Ini dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat atau Diperketatkan bagi membolehkan Kementerian Kesihatan melaksanakan tindakan pencegahan, pemulihan atau mitigasi di kawasan terbabit.

Katanya, mekanisme pengurusan krisis negara yang dilaksanakan ini berjaya mengawal penularan wabak Covid-19 dan mengelakkan fasiliti kesihatan seperti hospital dan klinik terbeban dengan jumlah kes yang terlalu tinggi. – Malaysiapost