Covid-19: 957 kes baharu, 225 kes berlaku di Selangor

0
3

Nurul Huda Abhar

NEGERI Selangor melaporkan 225 kes baharu hari ini dengan 156 daripadanya adalah dari kluster sedia ada, manakala 16 kes lagi dikesan dalam kluster baharu iaitu Kluster Usaha.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 39 kes lain di Selangor adalah saringan kontak rapat dan baki 14 adalah lain-lain saringan Covid-19.

“Manakala di Sabah mencatatkan 644 kes baharu. Saringan kontak rapat adalah sebanyak 401 kes manakal 97 kes adalah kluster sedia ada. Baki 146 kes adalah lain-lain saringan Covid-19.

“Satu kluster ditamatkan di sabah iaitu Kluster Joo Hwa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes baharu jangkitan Covid-19 di seluruh negara hari ini sebanyak 957 kes, menjadikan jumlah kumulatif adalah 32,505 kes.

Selain itu, katanya, menerusi jumlah keseluruhan kes positif hari ini, 671 melibatkan warganegara dan baki 286 adalah bukan warganegara.

Tambahnya, sebanyak 972 kes sembuh direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan sembuh dan discaj adalah 22, 220.

“Jumlah kes yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebanyak 97 kes dan pesakit yang memerlukan bantuan alatan pernafasan adalah seramai 27 kes.

“Hari ini tiada kematian direkodkan dan jumlah kumulatif kematian kekal sebanyak 249 kes,” ujarnya. -Malaysiapost