Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran sokong pengeluaran akaun 1 KWSP

0
1

Nurul Huda Abhar

PERTUBUHAN Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) memberi sokongan penuh kepada cadangan banyak pihak agar pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan mengeluarkan simpanan daripada Akaun 1 KWSP.

Setiausaha Agungnya, Mohammad Rizan Hassan berkata, walaupun kerajaan mempunyai alasan kukuh untuk tidak membenarkan pengeluaran itu, namun perlu diingatkan bahawa golongan pekerja berkemahiran di sektor perkilangan amat terkesan dengan situasi semasa.

Beliau berkata, ini kerana kekurangan kerja lebih masa yang selama ini adalah sumber pendapatan sokongan kepada pendapatan tetap mereka.

“Ini lebih memburukkan lagi keadaan apabila ramai di kalangan tenaga separuh mahir ke bawah telah kehilangan pekerjaan akibat penutupan dan pengecilan operasi kilang di negara ini.

“Terdapat juga kilang yang melalui proses pemulihan dari kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula menggunakan automasi industri sepenuhnya yang memungkinkan tenaga kerja sedia ada bakal kehilangan pekerjaan mereka tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohammad Rizan, PKPB amat menghargai segala usaha yang kerajaan lakukan ia seperti perlaksanaan Pelan Jana Semua Ekonomi Negara (Penjana).

Katanya, namun hasilnya bukanlah dapat dilihat dalam masa yang singkat sebaliknya ianya lebih kepada suatu sokongan sosial untuk menceburi bidang kerjaya baru ataupun peningkatan kemahiran sedia ada.

“Justeru, kelonggaran pengeluaran wang KWSP Akaun 1 setidaknya dapat meringankan bebanan yang sedang
ditanggung di samping memberi sedikit motivasi kepada pencarum agar merancang sesuatu untuk kelangsungan kehidupan mereka,” ujarnya.

Kelmarin, kerajaan membayangkan sukar untuk membenarkan pengeluaran wang akaun 1 caruman KWSP bagi digunakan rakyat yang berdepan wabak Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau menyedari ada cadangan bagi pengeluaran wang akaun 1 KWSP berikutan rakyat terbeban dengan impak ekonomi akibat penularan berkenaan.

Muhyiddin berkata, jika kerajaan benarkan perkara itu dilaksanakan dengan mengeluarkan segala simpanan KWSP yang masih berbaki, pencarum akan hadapi masalah lebih besar pada masa hadapan. -Malaysiapost