TAN Sri Muhyiddin Yassin beredar meninggalkan perkarangan sebuah hotel yang menjadi lokasi mesyuarat pimpinan Perikatan Nasional (PN), sebentar tadi.
Perdana Menteri diiringi Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, lapor Berita Harian.
Mohamed Azmin ketika ditemui pemberita memaklumkan, mesyuarat itu adalah pertemuan biasa bersama Perdana Menteri sebelum Dewan Rakyat bersidang.
“Perdana Menteri hanya memaklumkan kepada kami perkembangan terbaharu dan persediaan untuk persidangan Dewan Rakyat esok,” katanya yang enggan mengulas mengenai perkembangan dimaksudkan.
Difahamkan, pertemuan tersebut melibatkan semua ketua parti gabungan kerajaan PN termasuk Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Dikatakan pertemuan tersebut adalah persiapan bagi pembentangan Belanjawan 2021 yang akan berlangsung pada 6 November dan juga persediaan persidangan Parlimen yang bermula esok.
Selain itu, turut hadir dalam mesyuarat tersebut adalah Presiden Parti Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; dan Presiden MIC, Tan Sri S Vigneswaran.

