Karyawan bantah keputusan bubar MRM

0
3

PERSATUAN Karyawan Malaysia (Karyawan) membantah keputusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membenarkan pembubaran badan tunggal kutipan untuk royalti bagi persembahan awam muzik, iaitu Music Rights Malaysia Bhd (MRM).

Karyawan menerusi kenyataan media berkata, sistem MRM mewakili tiga hak berbeza dalam muzik (penciptaan muzik, rakaman bunyi serta pelaku atau artis) dan MRM menjadi satu-satunya badan yang mengutip royalti dari pengguna muzik untuk ketiga tiga kumpulan ini.

“Ia berfungsi dengan baik dan jarang sekali ada aduan dari mana-mana pengguna atau badan yang terlibat setelah sistem ini dilaksanakan pada 2016.

“Memang mengejutkan apabila KPDNHEP mengambil keputusan membenarkan pembubaran sistem yang berfungsi dengan baik dan mempunyai sokongan banyak pihak.

“Kami yakin kementerian membenarkan hal ini terjadi kerana ada pihak tertentu merasa mereka akan memiliki peluang untuk meningkatkan jumlah royalti yang mereka perolehi jika sistem itu dihentikan.

“Ini akan membebankan pengguna dan golongan perniagaan yang menggunakan muzik di tempat awam, yang akhirnya akan membayar lebih apabila ini terjadi,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak terbabit telah memberitahu kerajaan bahawa badan tunggal kutipan royalti itu menceroboh hak peribadi mereka seperti termaktub dalam Akta Hak Cipta 1987.

“Paling mengejutkan, mereka dibenarkan kembali ke cara kutipan asal mulai 1 Mei 2020, apabila tiga badan akan kutip royalti secara berasingan iaitu Perlindungan Hak Cipta Pencipta Muzik (MACP) mewakili komposer dan penerbit; Public Performance Malaysia (PPM) mewakili syarikat rakaman dan Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) mewakili artis dan pemuzik rakaman.

“Ini kerana pembahagian royalti berdasarkan 2: 1: 1 di mana MACP menerima 50 peratus dan PPM dan RPM masing-masing menerima 25 peratus.

“Ramai berspekulasi bahawa PPM adalah pihak yang bertanggungjawab melobi kerajaan untuk menutup operasi MRM.

“Ini akan membolehkan mereka kembali mengutip sendiri royalti di mana mereka berharap dapat meningkatkan jumlah royalti menjadi sama atau lebih besar daripada MACP, di mana hak mereka berdasarkan undang-undang jauh lebih rendah daripada hak yang dimiliki oleh MACP,” katanya.

Karyawan jelaskan lagi, karya muzik dimiliki MACP digunakan dalam setiap jenis persembahan awam, sama ada secara langsung atau rakaman.

Sebaliknya, katanya, rakaman bunyi tidak digunakan dalam persembahan secara “live” seperti konsert.

“PPM tidak mempunyai hak untuk mengutip royalti dari persembahan “live” dan konsert yang tidak menggunakan rakaman, yang merupakan sebahagian besar dari kutipan royalti setiap tahun,” kata kenyataan itu lagi.

Tambah Karyawan, hak dalam karya muzik milik MACP adalah sehingga 50 tahun setelah kematian komposer, sementara hak milik rakaman suara dimiliki PPM hanya selama 50 tahun setelah rakaman dibuat.

“Sebagai contoh, jika P Ramlee merakam lagu pada 1950, hak karya muzik itu bertahan 50 tahun selepas kematiannya pada 1973, yang bermaksud hak cipta karya muzik itu masih wujud hingga 2023 dan mereka yang menggunakan karyanya bertanggungjawab membayar royalti persembahan awam karya muziknya (MACP) di khalayak ramai.

“Namun hak cipta untuk rakaman bunyi yang dibuat pada 1950, akan tamat 50 tahun selepas rakaman itu, iaitu tahun 2000.

“Oleh itu dari tahun 2000 hingga 2023 hanya MACP masih berhak untuk mengutip royalti pada lagu tersebut, tetapi PPM memiliki hak kurang 23 tahun bagi lagu sama, kerana ia telah masuk ke domain awam (menjadi milik awam untuk digunakan tanpa bayaran) pada tahun 2000.

“Ini bermaksud pada satu-satu masa, MACP akan memiliki kumpulan karya yang jauh lebih besar di bawah perlindungan hak cipta dibandingkan dengan PPM,” katanya.

Sehubungan itu, menurut Karyawan seharusnya tiada cara di mana PPM berhak mengutip jumlah yang sama atau lebih banyak royalti daripada MACP kerana hak PPM jauh lebih rendah.

Kata Karyawan lagi, itulah juga sebabnya mengapa kerajaan melaksanakan nisbah 2: 1: 1 untuk kutipan bagi MACP, PPM dan RPM.

“Kami benar-benar tidak percaya ahli MACP dalam lembaga pengarah MRM memilih untuk membubarkan MRM, apabila ia jelas menguntungkan bagi MACP untuk membiarkan MRM meneruskan operasi mereka, kerana MACP mendapat 50 peratus royalti yang dikutip berbanding dua badan tersebut yang hanya mendapat 25 peratus masing-masing.
“Kami rasa ada sesuatu yang tidak kena dalam keputusan ini, di mana satu badan memilih keputusan yang akan meletakkan dirinya dan ahli pada kedudukan kurang menguntungkan.

“Karyawan telah mengeluarkan kenyataan meminta SPRM menyiasat perkara ini secara menyeluruh,” katanya.

Ia juga meminta kerajaan mempertimbangkan penubuhan semula MRM dengan segera sebagai badan kutipan tunggal untuk persembahan muzik awam.

Ini memandangkan kemungkinan di masa depan kementerian atau Menteri lain akan memberi lebih banyak lesen kepada pelbagai badan kutipan baharu yang mungkin muncul kerana mahu meraih untung seperti sebelum penubuhan MRM.

“Kami ingin mengesyorkan bahawa sebagai langkah penjimatan kos, MRM tidak hanya diberi hak mengutip royalti untuk tiga pihak di bawah Akta Hak Cipta, malah pengagihan royalti kepada ahli dari tiga badan tersebut yang mana mereka telah mengutip royalti bagi sesuatu karya.

“Dengan cara ini penjimatan kos akan dimaksimumkan dan akan memastikan ahli mendapat bayaran royalti lebih tinggi setiap tahun kerana penjimatan dicapai dengan satu gabungan yang membuat kutipan sekaligus dengan sistem pengagihan tunggal,” katanya.

Seterusnya kata Karyawan, ketiga-tiga badan itu hanya perlu wujud untuk mendaftarkan ahli baharu dan menguruskan pentadbiran dan kawalan ke atas ahli.

“Mereka boleh berkongsi kakitangan dan menggunakan pejabat MRM untuk pentadbiran, satu penjimatan kos yang akan memastikan jumlah wang royalti lebih tinggi diserahkan kepada ahli.

“Kami meminta KPDNHEP segera mengembalikan MRM sebagai badan kutipan tunggal bagi persembahan muzik awam untuk semua pemegang hak, dan memperluas fungsinya meliputi pengagihan royalti dan juga kutipan,” katanya. – Malaysiapost