Aiman Hanif
MAEL Totey The Movie, adalah buah tangan pertama “Youtuber” terkenal negara Syahmi Syazli. Dalam masa empat hari filem berkenaan berjaya meraih kutipan RM2.56 juta.
Ia jumlah yang amat “mengejutkan” dan satu kejayaan yang boleh dibanggakan Syahmi memandangkan ia bukanlah anak seni lama berkecimpung dalam dunia perfilemen.
Melihat kepada fenomena Mael Totey The Movie membawa aku untuk menelaah seketika karya arahan Syahmi itu.
Selepas menonton dan meneliti filem berkenaan, secara kesimpulannya dapatlah diperkatakan bahawa filem ini sebenarnya indah khabar dari rupa.
Secara peribadi, karya ini masih tidak layak untuk diangkat ke layar perak. Ia lebih kepada cantuman drama-drama pendek Syahmi yang disiarkan di YouTube nya sebelum ini yang diangkat ke layar perak.
Garapan ideanya agak kabur dan tidak nampak hala tuju yang jelas dalam penceritaan yang mengisahkan percintaan Mael Totey dengan “cikgunya”.
Watak-watak dalam cerita ini agak longgar, apatah lagi dialog banyak menggunakan bahasa Inggeris campur loghat Kelantan yang tidak dapat dipastikan apa tujuannya.
Meneliti karya ini, agak mengejutkan bagaimana ia boleh mendapat kutipan sehingga lebih RM2 juta. Mungkin itu rezeki Syahmi yang tidak boleh sesiapapun nafikan.
Bagaimana pun mungkin keterujaan orang ramai khususnya anak Kelantan untuk melihat penampilan pelakon autisme seperti Yoe Parey dan Asif mendorong kepada terhasilnya fenomena ini.
“Aura” Yoe Parey dan Asif tidak boleh dinafikan membantu “promosi” kepada filem ini selain promosi yang telah direncanakan oleh pihak Astro.
Secara peribadi pada pandangan aku, karya sulung Syahmi ini masih banyak yang perlu diperbetulkan dan masih belum layak untuk ditayangkan di layar perak.
Bagaimana pun aku memuji keberanian Syahmi yang hanya terbabit menghasilkan drama spontan di YouTube sebelum ini, “mencuba nasib” mengangkat karya seninya ke layar perak.
Syahmi perlu banyak beguru dengan Sabri Yunus, Mamat Khalid jika mahu menghasilkan drama ataupun filem yang mengangkat citra masyarakat Melayu di negara ini. – Malaysiapost

