Peniaga rugi RM9,600 ditipu ‘rakan lama’

0
1

SEORANG peniaga mendakwa kerugian RM9,600 selepas diperdayakan seorang lelaki yang menyamar sebagai rakan lamanya, semalam.

Semuanya bermula apabila mangsa berusia 55 tahun menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali pada jam 11 pagi dan pemanggil memperkenalkan diri sebagai rakannya dan berhasrat meminjam wang untuk membuka restoran.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata suspek dikatakan memerlukan wang itu segera dan berjanji membayar semula pada minggu hadapan, sebaik urusan membuka restoran selesai .

“Mangsa mendakwa bersetuju untuk meminjamkan wang atas dasar rakan lama dan membuat dua transaksi pemindahan wang secara dalam talian pada hari sama,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Mohd Wazir berkata mangsa mula berasa ditipu selepas menghubungi rakan lamanya itu pada 4.15 petang untuk bertanya lebih lanjut mengenai restoran berkenaan, namun dimaklumkan dia tidak pernah meminjam wang tersebut.

Seterusnya, rakannya memaklumkan dompet dan telefon bimbitnya hilang beberapa hari lalu, dan individu yang mengambilnya mungkin telah memperdayakan mangsa.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Maran dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. – Malaysiapost