PM ajak rakyat terus bermunajat

0
2

Fitri Nizam

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak seluruh rakyat beragama Islam untuk terus bermunajat ketika negara masih diuji dengan wabak Covid-19 serta dalam usaha memulihkan ekonomi dan perkukuh perpaduan.

Beliau berkata, ujian yang melanda ini seharusnya mengukuhkan iltizam untuk lebih mengasihi dan mendekatkan diri kepada ajaran Rasulullah yang tidak pernah melupakan kita sebagai umatnya.

“Semoga dengan usaha ini, kita akan beroleh sebanyak mungkin keberkatan dan keredaan Allah, serta kita semua digolongkan dalam kalangan umat yang sentiasa dikasihi dan kelak akan menerima syafaat Rasulullah, Insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook sempena sambutan Maulidur Rasul yang bertemakan ‘Ummah Rabbani Negara Harmoni’.

Muhyiddin berkata, tema itu dipilih untuk menggambarkan pentingnya sifat Rabbani dan kepatuhan hamba kepada pencipta yang akhirnya akan membawa kepada keharmonian ummah dan negara.

“Rasulullah merupakan sebaik-baik teladan yang memiliki sifat-sifat Rabbani dan akhlak terpuji, yang tiada tolok bandingnya dan menjadi rujukan dalam kehidupan manusia,” katanya.

Justeru, sempena Maulidul Rasul ini, Perdana Menteri mengajak umat Islam untuk memperbanyak selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad, menghayati sirah serta berusaha sedaya upaya untuk mencontohi Sunnah insan yang sangat mulia dan dikasihi ini. – Malaysiapost