Nurul Huda Abhar
SEORANG maut, manakala 124 anak kapal berjaya diselamatkan selepas kapal platform Dayang Topaz karam di perairan Miri, Sarawak, pagi ini.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, pihaknya menerima aduan kemalangan itu melalui Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC Putrajaya) pada jam 6.45 pagi tadi.
“Maritim Malaysia mengesahkan pada jam 9.29 pagi, empat kru yang hilang telah ditemui berhampiran lokasi kejadian dan mereka telah di bawa ke kapal-kapal yang terlibat dalam operasi cari dan menyelamat ini.
“Oleh itu, kesemua mangsa yang terjun ke laut adalah 124 dan berjaya diselamatkan, manakala seorang meninggal dunia.
“Sementara 62 kru masih berada di atas kapal Dayang Topaz,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal, kejadian disyaki berpunca dari salah satu kabel sauh Kapal Dayang Topaz yang terputus ekoran cuaca buruk.
Katanya, ia sekali gus menyebabkan kapal berkenaan tidak dapat dikawal sebelum hanyut melanggar platform pelantar Minyak beramB.
Tambahnya, MRCC Putrajaya kini sedang bekerjasama dengan syarikat carigali minyak Petronas, Shell,Tentera Udara Malaysia (TUDM), Bomba dan Penyelamat, National Search Coordination Center Brunei yang telah menugaskan sebuah pesawat Brunei Shell Petroleum termasuk Komuniti Nelayan Tempatan untuk operasi menyelamat.
“Aset-aset yang terlibat KM Siagut, KM Siakap dan Bot Penggalang 23 kini berada di lokasi kejadian untuk memantau keselamatan mangsa dan aset-aset SAR yang berada di lokasi kejadian.
“Keadaan laut masih bergelora dengan ketinggian 3.5 ke 4 meter paras ketinggian,” katanya. -Malaysiapost



