Nampaknya nasihat YDPA tidak diendahkan – Kit Siang

0
2

Fitri Nizam

NASIHAT Yang di-Pertuan Agong untuk berhenti berpolitik dan menggugat kestabilan kerajaan untuk memerangi Covid-19 nampaknya tidak diendahkan, kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Dengan memberikan beberapa kronologi babak politik sejak titah Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini, beliau berkata, pada malam Ahad, persoalan adakah Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri berikutan penolakan terhadap cadangan Kabinet untuk mengisytiharkan darurat dan menggantung Parlimen bagi memerangi gelombang ketiga pandemik Covid-19 di Malaysia.

Katanya, malam semalam, persoalannya bertukar kepada adakah pemerintahan pintu belakang Muhyiddin Yassin akan tumbang sekiranya Majlis Tertinggi Umno memutuskan untuk menarik sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk melalui plot Langkah Sheraton pada bulan Februari lalu.

“Semua percakapan menggunakan bahasa politik perdamaian dan perpaduan nasional, tetapi tindakan yang dilihat menunjukkan tanda-tanda politik perpecahan dan polarisasi nasional.

“Nampaknya, nasihat Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong kepada rakyat Malaysia untuk berhenti berpolitik dan menggugat kestabilan kerajaan supaya semua orang, tanpa mengira latar belakang dan ideologi, dapat mengetepikan perbezaan dan perselisihan mereka dan bersatu sebagai satu dalam memerangi wabak Covid-19 dan nasihat Raja-raja Melayu untuk menerjemahkan prinsip-prinsip raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen menjadi budaya pentadbiran untuk memastikan keadilan dan membendung sebarang penyalahgunaan kuasa tidak diendahkan,” katanya.

Kit Siang turut mempersoalkan di mana pemikiran ‘keseluruhan kerajaan’ dan ‘keseluruhan masyarakat’ untuk melawan gelombang ketiga wabak Covid-19 di Malaysia, yang merupakan intipati pesanan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu.

Beliau dalam kenyataan itu juga merujuk laporan portal berita yang menyiarkan berita bahawa Sepanyol mengisytiharkan darurat.

Lim berkata situasi Covid-19 di Malaysia walaupun serius adalah tidak sama seperti Sepanyol yang mengisytiharkan darurat selepas 1,156,498 jangkitan dan 35,031 kematian.

“Namun, perbezaan yang paling penting adalah bahawa keadaan darurat di Sepanyol tidak melibatkan penggantungan Parlimen Sepanyol.

“Malah, Parlimen Sepanyol sendiri akan memutuskan sama ada darurat akan dilanjutkan melebihi 14 hari.

“Bagaimanapun, di Malaysia, tujuan darurat adalah untuk menggantung Parlimen dan bukannya melaksanakan perintah darurat,” katanya. -Malaysiapost