GPS akur titah Agong henti segala ‘politicking’

0
1

Nurul Huda Abhar

PARTI Gabungan Parti Sarawak (GPS) akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahu semua ahli politik menghentikan segala ‘politicking’ yang boleh mengganggu gugat kestabilan pemerintahan negara.

Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia selari dengan prinsip dan pendirian GPS yang konsisten mahu semua pihak menghentikan ‘politicking’.

Beliau berkata, ia bagi memberi fokus kepada usaha menangani penularan Covid-19 serta pemulihan ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik berkenaan.

“GPS berharap semua pihak akur akan titah dan nasihat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang sentiasa mengutamakan rakyat dan negara.

“Di samping memperakui kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan serta amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak Covid-19 dari terus merebak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Fadillah, rakyat seharusnya menjadi keutamaan oleh semua ahli-ahi politik dalam apa jua keadaan terutama dalam berdepan cabaran penularan Covid-19 ketika ini.

“GPS menjunjung kasih titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku akan betapa pentingnya Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen akan datang ini, dalam menangani wabak Covid-19,” ujarnya.

Istana Negara menerusi kenyataan sebelum ini memaklumkan Al-Sultan Abdullah menitahkan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian diMalaysia, buat masa ini.

Seri Paduka Baginda mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala ‘politiking’ yang boleh menggangu kestabilan pemerintahan negara.

Semalam, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno mengekalkan keputusan terdahulu tiada kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat dan DAP.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan berkata akan terus mendokong kerajaan Perikatan Nasional. -Malaysiapost