Ahli politik perlu patuh peraturan, hormat Agong – Badan Peguam Malaysia

0
2

BADAN Peguam Malaysia meminta ahli politik mematuhi peraturan undang-undang, Perlembagaan dan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong.

Presidennya, Salim Bashir berkata, perkara yang diperlukan negara ketika ini adalah fokus kepada soal kesihatan dan kebajikan rakyat.

“Tanpa perlu dipersoalkan, keamanan dan kestabilan perlu menjadi perkara paling utama serta mengatasi sebarang bentuk pertelingkahan di antara ahli politik dari pelbagai parti.

“Badan Peguam menyambut baik langkah bijaksana Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk melindungi kepentingan rakyat dengan tidak mengisytiharkan darurat mengikut Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Badan Peguam juga sependapat dengan pandangan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu, bahawa ada undang-undang dan mekanisme semasa yang mempunyai kekuatan luas dan komprehensif untuk menguruskan pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, ketika ini sokongan mencukupi mesti diberikan kepada doktor, jururawat dan semua pihak yang terbabit dalam memerangi Covid-19. -Malaysiapost