KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menafikan dakwaan sistem kesihatan di Sabah semakin lumpuh berikutan penularan Covid-19 di negeri itu.
Beliau berkata, perkara itu tidak benar, sebaliknya Kementerian Kesihatan sudah menanganinya termasuk melibatkan peralatan bantuan pernafasan dan perlindungan peribadi (PPE).
“Sekarang ini, ada anggapan daripada masyarakat seolah kita tidak melaksanakan atau sistem kesihatan akan lumpuh, itu tidak benar,” katanya dalam sidang media hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, beliau hairan kebanyakan pihak tertentu suka percaya kepada persepsi negatif, sedangkan fakta dan angka yang ada menunjukkan perkara sebaliknya.
Katanya, perkara yang paling penting ialah penyelarasan dan peruntukan, selain kerajaan sudah menyalurkan lebih RM30 juta peruntukan kecemasan untuk memperkukuh sistem kesihatan di Sabah.
“Sistem kesihatan di Sabah masih lagi mempunyai kapasiti dan berfungsi jadi tidak benar dakwaan sesetengah pihak kerana apa yang dimaklumkan adalah maklumat terkini.
“Kami juga akan meningkatkan aktiviti pengesanan dan intervensi kesihatan awam di Sabah.
“Kami mengakui situasi ketika ini lebih sukar dan mencabar. Namun, kami bersedia menghadapinya berbanding Mac lalu.
“Dari segi penugasan sumber manusia serta PPE dan sebagainya, kami sudah mulakan lebih awal dengan menghantar pasukan ke Sabah termasuk dari negeri lain,” katanya. – Malaysiapost

