BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat cadangan mengemparkan hari ini, dalam pertemuan Barisan Nasional (BN) di Kuala Lumpur apabila meminta parti itu menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Memetik laporan MalaysiaKini, cadangan itu dibuat Ahli Parlimen Pekan itu dengan alasan perlunya keseimbangan jawatan dalam kerajaan kini.
Bagaimanapun, menurut sumber, cadangan itu tidak diterima sebahagian besar pemimpin yang hadir.
Seorang Ahli Parlimen BN yang enggan didedahkan identitinya berkata, cadangan Najib itu tidak dapat diterima akal kerana mereka berpendapat, menyokong Anwar bermakna menerima DAP sebagai kerajaan.
“Masakan cadangan yang tidak masuk akal itu mampu diterima oleh akar umbi Umno, kerana ahli-ahli Umno diberitahu sebelum ini Umno menyokong penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana tidak mahu DAP menjadi sebahagian kerajaan.
“Takkanlah BN terutama Umno mahu bersama dengan DAP dalam kerajaan, kerana bukan saja ideologi perjuangan kedua-dua parti berbeza, malah ahli antara kedua-dua parti akan bercelaru,” katanya.
Jelas sumber itu lagi, pertemuan petang tadi hampir tergendala berikutan cadangan yang dikemukakan bekas Pengerusi BN itu.
Mesyuarat Ahli Parlimen BN yang berlangsung hampir tiga jam bermula jam 1 tengah hari itu tidak membuat sebarang keputusan sama ada Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong agar Dewan Rakyat dibubarkan atau tidak.
Sebaliknya, Najib dilaporkan berkata, mesyuarat itu mendengar pelbagai pandangan daripada mereka yang hadir.
“Tak ada keputusan, macam-macam pandangan, tapi pandangan ini tak boleh ambil kira, yang penting sekali keputusan.
“Kita cuma mendapatkan pandangan dari wakil rakyat BN mengenai pendirian kita dan halatuju yang patut dijadikan ketetapan parti,” katanya.
Dalam pada itu seorang lagi sumber BN berkata, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kelihatan lebih tenang dan berpegang teguh atas keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno sebelum ini yang menolak sebarang kerjasama dengan Anwar mahupun DAP.
“Zahid mendengar pelbagai pandangan dan cadangan termasuk daripada Najib dengan tenang kerana pastinya beliau mahu masa depan BN terutama Umno terus cerah dan lebih menyinar di mata rakyat,” katanya ketika dihubungi.
Beliau menjelaskan, drama politik negara belum berakhir dan sebarang tindakan sama ada Muhyiddin mahu meletak jawatan atau membubarkan Dewan Rakyat, pastinya akan didorong oleh keputusan yang diambil oleh BN dan Umno selepas ini. – Malaysiapost

