Raja Berperlembagaan benteng demokrasi berparlimen

0
3

Fitri Nizam

SISTEM Raja Berperlembagaan di Malaysia terbukti benteng utama mempertahankan sistem demokrasi berparlimen negara.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, rakyat dari pelbagai latar belakang berterima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong kerana memutuskan untuk tidak mengisytiharkan darurat selepas Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja di Istana Negara hari ini.

Katanya, rakyat Malaysia terutamanya 221 Ahli Parlimen, perlu bersatu padu untuk membentuk usaha yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” bagi memerangi gelombang ketiga wabak Covid-19.

“Laporan terkini menunjukkan penurunan 465 kes jangkitan Covid-19 (sejumlah 823 kes untuk hari ini berbanding dengan 1,288 kes semalam) yang sepatutnya menjadi berita memberangsangkan.

“Terutamanya petugas barisan hadapan dan seluruh rakyat Malaysia untuk menggandakan usaha semua dalam mendatarkan lekuk penularan gelombang ketiga wabak Covid-19 di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, perhatian khusus perlu diberikan kepada Sabah yang kini menjadi pusat penularan utama wabak itu.

“Semua Ahli-ahli Parlimen perlu fokus kepada usaha untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan dalam berhadapan dengan bencana wabak Covid-19 “sekali dalam seabad” ini,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan titah Yang di-Pertuan Agong bahawa tiada keperluan pengisytiharan darurat dibuat bagi menangani Covid-19.

Bagaimanapun, dalam titah sama, Yang di-Pertuan Agong turut mengingatkan ahli politik untuk memberhentikan segera segala ‘politiking’ yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

Al-Sultan Abdullah turut berpendapat, tiada perlunya Ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan sedia ada. – Malaysiapost