Fitri Nizam
PRESIDEN Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan secara terhormat.
Beliau berkata, pihaknya menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja yang menolak pengisytiharan darurat hari ini.
“Ahli-ahli parlimen dari pelbagai parti akan mencari jalan terbaik untuk membentuk kerajaan dan menyelamatkan Malaysia serta rakyat,” katanya ringkas dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan titah Yang di-Pertuan Agong bahawa tiada keperluan pengisytiharan darurat dibuat bagi menangani Covid-19.
Bagaimanapun, dalam titah sama, Yang di-Pertuan Agong turut mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala ‘politiking’ yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.
Al-Sultan Abdullah turut berpendapat, tiada perlunya Ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan sedia ada.
Bagaimanapun, satu permohonan maaf dikeluarkan Pejabat Presiden Amanah dan memaklumkan pihaknya menarik balik kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi.
“Mohon kemaafan. Pejabat Presiden Amanah menarik balik kenyataan media sebentar tadi. Kenyataan rasmi parti akan dikeluarkan sebentar lagi,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan terbaharu, Mohamad berkata, Amanah meyakini bahawa keputusan Yang di-Pertuan Agong dibuat dengan penuh berhemah dan kebijaksanaan dengan mengambil kira kepentingan rakyat Malaysia seluruhnya dan kelangsungan kemakmuran negara.
“Parti Amanah menjunjung kasih titah Baginda dan akan menyokong segala usaha memerangi Covid-19 dan berjanji akan bersama sepenuhnya dalam usaha ini,” katanya. – Malaysiapost

