Umno bincang titah YDPA malam ini

0
2

UMNO dijangka mengadakan perbincangan lanjut susulan titah Yang di-Pertuan Agong bahawa tiada keperluan pengisytiharan darurat dilaksanakan buat masa ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pucuk pimpinan parti mengambil maklum dengan titah berkenaan yang diputuskan selepas Mesyuarat Raja-Raja Melayu di Istana Negara, petang tadi.

“Saya tidak akan keluarkan kenyataan sekarang. Kita akan buat perbincangan malam ini dan hanya keluarkan kenyataan selepas itu,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah bertitah tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat buat masa ini, selepas menerima permohonan berbuat demikian daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fail Shamsuddin berkata, permohonan itu adalah pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Permasyuhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) mengikut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan bagi memerangi ancaman wabak Covid-19.

Al-Sultan Abdullah juga menyifatkan kerajaan pimpinan Muhyiddin ketika ini telah berjaya menangani penularan wabak itu dengan baik. – Malaysiapost