KELIBAT Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang tidak kelihatan masuk ke Istana Negara melalui pintu utama untuk menghadiri Mesyuarat Khas Raja-Raja Melayu petang tadi, menimbulkan tanda tanya.
Ia sekali gus mencetuskan andaian kemungkinan baginda menghadiri mesyuarat khas berkenaan dengan menaiki helikopter?.
Ia susulan sebuah helikopter kelihatan mendarat di Istana Negara, dilihat meninggalkan pekarangan istana pada petang tadi.
Helikopter berkenaan dipercayai dinaiki seorang Sultan dan berlepas pada jam 5.30 petang sejurus selesai rundingan bersama Raja-Raja Melayu.
Beberapa anggota polis sebelum itu dilihat mengiringinya yang menaiki sebuah kenderaan ke helikopter sebelum berlepas.
Keberangkatan pulang Sultan berkenaan adalah selepas Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilihat meninggalkan Istana Negara melalui pintu utama pada 5.13 petang.
Hanya Sultan Muhammad V yang tidak dilihat masuk ke Istana Negara melalui pintu utama sebelum rundingan bermula pada 2.30 petang tadi.
Kesahihan sama ada Sultan Kelantan tiba dan pulang menaiki helikopter itu masih belum dapat dipastikan.
Helikopter berkenaan mendarat di pekarangan Istana Negara pada jam 3.05 petang hari ini.
Difahamkan, helikopter sama sudah mendarat pada 12 tengah hari sebelum terbang dan mendarat semula pada petang tadi.
Petang tadi, Raja-raja Melayu hadir di Istana Negara di sini, dijangka bagi menghadiri mesyuarat khas.
Kenderaan rasmi dari Istana Johor antara terawal dilihat memasuki pintu utama Istana Negara pada 1.30 tengah hari dipercayai membawa Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. -Malaysiapost
kredit Foto: NSTP

