Muhammad Mustakim Ramli
PANGGIL semua duduk semeja tanpa perlu isytihar darurat, kata Pengasas Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Ahli Parlimen Muar itu berkata, perkara itu tidak mustahil untuk dilakukan dengan semua pihak perlu mengenepikan ego dan memecahkan tembok kepartian demi negara.
“Tidak perlu isytihar darurat, panggil semua duduk semeja untuk luluskan belanjawan 2021, tanpa ada Pilihanraya.
“Dahulu saya diperlekehkan apabila mencuba untuk pinda perlembagaan (UNDI18) walaupun kerajaan tiada sokongan dua pertiga ahli parlimen.
“Perkara ini tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia tetapi, Alhamdulillah, kerana “bipartisanhip”, kita berjaya lakukan bersama,” katanya dalam satu hantaran Facebooknya.
Syed Saddiq berkata beliau pernah dimaki kerana mengusahakan agenda nasional.
“Saya dimaki oleh segelintir pemimpin kerana duduk bersama pembangkang untuk usahakan agenda nasional.
“Saya percaya bahawa kita dapat mencipta sejarah bersama untuk Malaysia.
“Ketepikan ego dan pecahkan tembok kepartian demi Malaysia tercinta,” katanya.
Beliau juga berharap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat mempertimbangkan cadangan berkenaan.
“Kalau takut tidak cukup sokongan di Parlimen, jangan ambil jalan mudah untuk gantung Parlimen dan demokrasi.
“Jumpa dengan semua dan cari titik tengah bersama. Kita boleh lakukannya demi Malaysia,” katanya.-Malaysiapost

