BEKALAN vaksin Covid-19 dijangka diterima oleh Malaysia pada suku pertama tahun 2021.
Dalam satu kenyataan berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) diadakan untuk memperhalusi perolehan vaksin berkenaan.
Katanya, JKJAV akan memastikan bekalan vaksin Covid-19 kepada negara dapat diperoleh dengan segera, selamat dan sempurna bagi melindungi rakyat Malaysia daripada wabak tersebut.
“Seterusnya membantu merancakkan kembali ekonomi negara,” katanya.
Mesyuarat JKJAV tersebut dipengerusi oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba dan Menteri Mosti, Khairy Jamaluddin yang buat pertama kali diadakan bersama, semalam.
Menurut kenyataan itu, objektif penubuhan JKJAV untuk memastikan bekalan vaksin Covid-19 diperoleh segera dengan Mosti dan KKM bertindak sebagai jawatankuasa induk.
“Tindakannya adalah merancang, melaksanakan dan memantau keseluruhan strategi untuk pembekalan vaksin ini sehingga pelaksanaan program imunisasi dijalankan,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, setakat ini, KKM telah berhubung dengan lapan calon vaksin yang kini berada di peringkat ujian klinikal fasa tiga.
Katanya, bekalan vaksin itu diberikan keutamaan kepada para petugas barisan hadapan meliputi sektor kesihatan dan keselamatan seperti doktor, jururawat, polis, petugas penjara dan imigresen.
Dalam pada itu, kerajaaan juga sedang memuktamadkan rundingan dengan COVAX yang mempunyai sembilan calon vaksin di bawah Global Alliance for Vassine and Immunisation (GAVI).
Tambahnya, kerajaan akan menyediakan peruntukan kewangan bagi tujuan pembelian vaksin melalui Tabung Covid-19 Kementerian Kewangan Malaysia. -Malaysiapost

