Agong harapan terakhir hentikan ‘darurat’ – Guan Eng

0
1

SETIAUSAHA Agung DAP Lim Guan Eng menyifatkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah harapan terakhir untuk menghalang sebarang langkah ke arah pengisytiharan darurat.

Lim berkata, langkah yang didakwa dirancang oleh kerajaan Persekutuan itu adalah usaha Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyelamatkan diri dengan “mengorbankan rakyat, demokrasi berparlimen dan ekonomi”.

“Rakyat memohon dan mendoakan untuk satu keputusan di mana suara rakyat biasa dapat didengar,” katanya dalam kenyataan hari.

Menurutnya, rancangan itu tiada kaitan dengan penularan wabak Covid-19, berdasarkan penilaiannya terhadap satu laporan akhbar The Star yang dimiliki MCA.

“(Laporan itu) secara terbuka mengakui pengisytiharan darurat untuk mengelakkan Belanjawan 2021 dikalahkan dan menghentikan seketika ‘aktiviti politik’.

“Kesan darurat adalah ia akan memusatkan kuasa kepada perdana menteri dengan mengorbankan Parlimen, merosakkan ekonomi dan menyebabkan kehilangan keyakinan yang teruk,” katanya.

Desas-desus mengatakan tujuan mesyuarat khas Kabinet diadakan semalam adalah kerajaan berhasrat mengisytiharkan ‘darurat’.

Dalam masa sama, Istana Negara juga telah memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong akan berunding dengan Raja-raja Melayu berhubung cadangan yang disampaikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. -Malaysiapost