Meja Pengarang
Seminggu Malaysia yang penuh dengan cerita kejutan. Daripada isu “scammer” lompat pagar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sehingga membawa kepada pembabitan artis-artis dengan kegiatan haram itu.
Nama Addy Kanna dan Goh Leong Yeong@Alvin menjadi perbualan rakyat Malaysia dalam tempoh dua minggu ini. Alvin adalah individu yang dikatakan “lompat pagar” lari dari ibu pejabat SPRM.
Imej badan siasatan itu mula dipertikaikan apabila SPRM gagal mendedahkan rakaman video bagaimana individu berkenaan berjaya meloloskan diri dari ditahan pihak berkuasa.
Umum semua maklum bahawa ramai pegawai dan anggota polis serta SPRM dikatakan terbabit dengan kegiatan haram Addy Kanna dan Alvin.
Polis menegaskan yang mereka akan berusaha untuk menangkap Alvin.
Khairuddin dan persepsi
Keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tidak mengambil tindakan lanjut “No Further Action” (NFA) terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Khairuddin Aman Razali memberi persepsi kurang baik terhadap pihak berkuasa di negara ini.
Keputusan AGC bahawa kes membabitkan Khairuddin diklasifikasikan sebagai NFA memberi tanggapan tidak elok kepada pihak polis selaku badan penyiasat dan pihak yang membuat pengumuman mengenai perkara itu.
Selepas keputusan itu diumumkan pihak polis, ia menjadi kecaman warganet yang rata-ratanya tidak berpuas hati dengan perkara itu umpama “dua darjat” dalam pelaksanaan undang-undang di negara ini.
Bukan saja parti politik, pihak berkuasa juga berdepan dengan permainan persepsi. Oleh itu pengurusan persepsi penting dalam isu-isu yang membabitkan kepentingan rakyat.
Umno ubah pendirian kekal bersama PN
Politik juga mencuri tumpuan rakyat Malaysia minggu ini. Ketika negara berdepan penularan wabak Covid-19, politik negara digegarkan dengan soal perebutan kuasa.
Bermula dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersembahkan majoriti dimiliki kepada Istana Negara dan kemudiannya disusuli dengan keputusan Umno ingin menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Keputusan itu “memanaskan” suhu politik negara buat seketika dan membuatkan rakyat bermain teka teki dengan jumlah majoriti dimiliki kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bagaimanapun kelmarin, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan “gencatan politik” dan mempertahankan keputusan sokongan parti itu kepada PN demi rakyat yang kini dalam kesukaran akibat Covid-19.
Isu-isu ini menenggelamkan seketika negara daripada ketakutan terhadap penularan wabak Covid-19. – Malaysiapost

