Wanita maut terjun tingkat 8 hospital negatif Covid-19

0
2

WANITA yang ditemui mati dipercayai terjun dari tingkat lapan bangunan Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) di Kota Kinabalu malam kelmarin, bukan pesakit Covid-19.

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi, berkata hasil siasatan mendapati pesakit wanita tersebut, 63, telah dimasukkan ke Wad Isolasi di Tingkat 8 hospital berkenaan pada 13 Oktober lalu setelah disyaki dijangkiti Covid-19.

“Namun demikian, ujian pengesahan RT-PCR bagi Covid-19 telah dijalankan sebanyak tiga kali adalah negatif.

“Oleh yang demikian, pihak hospital telah merancang untuk mendiscaj beliau dari wad pada 22 Oktober (semalam),” katanya menerusi satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keluarga pesakit telah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut oleh Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu semalam.

“Pihak Sokongan Psikososial Kesihatan Mental (MPHSS) hospital telah menghubungi keluarga pesakit untuk memberi sokongan psikologi kepada mereka.

“Jabatan Kesihatan Sabah merakam ucapan tahziah kepada keluarga pesakit,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Christina berkata, pihak HQE akan membuat siasatan terperinci mengenai kejadian itu dan akan mengambil tindakan penambaikan yang bersesuaian.

Katanya lagi, sehingga kini mayat pesakit masih berada di Jabatan Forensik HQE untuk dibedah siasat.

“Kes ini juga dibawah siasatan PDRM,” katanya.

Semalam, media melaporkan seorang wanita disyaki pesakit positif Covid-19 ditemui mati dipercayai terjun dari tingkat lapan bangunan HQE I.

Dalam kejadian jam 9.15 malam kelmarin, wanita warga tempatan berusia 63 tahun itu dikatakan terjun dari tingkap di tingkat lapan sebelum disedari pihak hospital yang kemudian memaklumkan kepada polis. – Malaysiapost