Rabiulawal bulan penuh kemuliaan, bulan Rasulullah SAW

0
3

Muhammad Afiq

RABIULAWAL adalah bulan ketiga dalam susunan takwim hijrah umat Islam. Bulan kelahiran baginda Rasulullah SAW ataupun lebih dikenali sebagai bulan maulid bagi umat Islam di negara ini.

Di kampung-kampung pada masa dulu, umat Islam akan mengambil kesempatan untuk mengadakan majlis maulid Nabi Muhammad SAW, sebagai tanda kebesaran memperingati bulan kelahiran insan mulia yang membawa rahmat ke seluruh alam.

Sebagai umat Islam kita perlu mengetahui keistimewaan bulan Rabiulawal yang digelar sebagai bulan Rasulullah SAW.

Baginda Nabi SAW iaitu pemimpin dan pembawa ajaran Islam di muka bumi ini telah dilahirkan pada bulan Rabiulawal iaitu pada 12 Rabiulawal 570 Masihi, bersamaan hari Isnin, Tahun Gajah di kota Makkah.

Tahun Gajah ini adalah tahun di mana tentera Abrahah datang ke kota Makkah untuk menyerang dan berusaha menghancurkan Kaabah dengan pasukan penunggang gajah.

Ini merupakan tarikh bersejarah yang perlu diingati oleh seluruh umat Islam atas kedatangan penghulu segala Nabi ini.

Namun begitu, ada beberapa ulama yang berselisih pendapat tentang tarikh sebenar kelahiran Baginda, antaranya ada yang mengatakan pada 9 Rabiulawal.

Bulan Rabiulawal juga adalah bulan penting di mana baginda Rasul wafat. Baginda wafat pada hari Isnin dalam bulan Rabiulawal.

Pun bagitu tarikh sebenar baginda wafat menjadi perselisihan dalam kalangan ulama. Ada yang mengatakan pada 1 Rabiulawal dan ada pula yang mengatakan pada 12 Rabiulawal.

Oleh itu, Rabiulawal dikenali sebagai bulan untuk meningkatkan lagi kecintaan kepada baginda Rasul SAW. Ini bukan bermakna ketika mengingati Nabi secara bermusim, sebaliknya bulan ini perlu dijadikan waktu terbaik untuk memperbanyakkan mengingati Rasul SAW.

Pelbagai cara boleh kita lakukan bagi membuktikan mahabbah atau cinta kita padanya antaranya dengan mengikuti sunah yang diajarkan dalam kehidupan seharian, mendengar kisah mengenai baginda, berselawat atau berqasidah memuji baginda.

Lahirnya Rasulullah SAW di muka bumi ini adalah sebagai rahmat buat sekalian alam. Justeru itu, bulan Rabiulawal ini dianggap sebagai bulan pembawa rahmat yang penuh dengan barakah di dalamnya atas sebab kelahiran junjungan Rasulullah SAW

Seperti mana firman Allah SWT: “Dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” Surah al- Anbiya: 107.

Selain bulan yang mengangkat kecintaan kepada Rasul SAW, Rabiulawal juga turut dikenali sebagai bulan keampunan.

Dengan memperbanyakkan selawat kepada junjungan Nabi SAW juga dapat membersihkan diri kita daripada segala dosa kecil.

Oleh itu sebagai umat Islam, Rabiulawal adalah masa terbaik untuk kita meningkatkan lagi rasa kecintaan kepada junjungan besar Nabi Muhamad SAW.- Malaysiapost

Foto Kredit: havehalalwilltravel.com