Fitri Nizam
SEBANYAK 847 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini dengan sebahagian besarnya iaitu 578 kes dikesan di Sabah, iaitu 68.2 peratus daripada jumlah kes hari ini.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut melaporkan lima kematian dan sebanyak 486 pesakit sembuh.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata terdapat enam kluster baharu dikesan di Sabah, Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Melaka.
“Negeri lain yang mencatatkan kes baharu adalah Selangor (137), Negeri Sembilan (38), Labuan (29), Kuala Lumpur (23), Perak (14) dan Pulau Pinang (10).
“Selain itu, Putrajaya (4), Kedah (3), Melaka (3), Kelantan (3), Pahang (2) manakala Sarawak, Terengganu dan Johor masing-masing mencatatkan satu kes,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata, terdapat lima kes import hari ini yang mendapat jangkitan dari luar negara yang dilaporkan di Selangor dan kesemuanya membabitkan warganegara asing.
Dr Noor Hisham berkata, lima kematian yang dicatatkan dilaporkan di Kedah dengan satu kes dan Sabah empat kes.
“Sehingga kini, terdapat 90 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 29 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. – Malaysiapost

