Fitri Nizam
KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti enam kluster baharu di seluruh negara hari ini.
Daripada jumlah itu, masing-masing dua kluster dikesan di Sabah dan Selangor, serta satu di Negeri Sembilan dan Melaka.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata di Sabah dua kluster yang dikenal pasti adalah Kluster Tinusa di Sandakan dan Kluster Sauh di Kota Kinabalu dan Papar.
Katanya, setakat ini Kluster Tinusa mencatatkan 33 kes positif dengan tiga kes baharu manakala Kluster Sauh 17 kes positif membabitkan tiga kes baharu.
“Di Selangor dua kluster baharu itu adalah Kluster Jambu dan Kluster Bah Mutiara yang kedua-duanya dikesan di Kuala Langat.
“Bagi Kluster Jambu terdapat 15 kes positif dikesan dengan enam kes baharu hari ini, manakala Kluster Bah Mutiara mencatatkan 10 kes dengan satu kes baharu,” katanya pada sidang media hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, kluster baharu di Negeri Sembilan adalah Kluster Sofi di Seremban dengan 34 kes positif di mana 33 daripadanya adalah kes baharu.
“Terakhir adalah Kluster Umboo membabitkan daerah Alor Gajah, Melaka yang mencatatkan empat kes positif dengan satu kes baharu,” katanya. – Malaysiapost

