Ingkar kuarantin: Polis siasat MB Selangor

0
2

POLIS telah membuka kertas siasatan terhadap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang sebelum ini mengakui melanggar perintah kuarantin.

Menurut Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Beliau memaklumkan polis sedang mendapatkan keterangan dokumen dan saksi kompeten.

Menurut beliau, siasatan dimulakan pada 5 Oktober lalu mengikut Seksyen 15 dan Seksyen 22 kerana tidak mematuhi perintah sah.

“Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mendapatkan keterangan saksi dan dokumen berkaitan mengikut Seksyen 15 serta Seksyen 22(B) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Difahamkan, siasatan dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

Amiruddin pada 4 Oktober lalu, memohon maaf kerana terpaksa keluar dari kuarantin pada malam berkenaan bagi menyelesaikan isu pencemaran sungai yang menyebabkan dua Loji Rawatan Air (LRA) dihenti tugas.

Bagaimanapun, beliau tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai pelindung dan pelitup muka, manakala kedua-dua ujian saringan yang dijalaninya menunjukkan keputusan negatif. – Malaysiapost